Dunia siber, dunia tanpa sempadan di mana memberi lapangan kepada penduduk dunia untuk menyuarakan pendapat masing-masing dengan lebih terbuka. Jika dulu, rakyat yang ingin mengusulkan sesuatu perkara kepada pihak atasan perlu menulis surat, beli setem tampal setem, dan tunggu posto sampai depan rumah. Belum cukup dengan proses yang rumit tadi, kena pula tunggu beberapa hari atau minggu untuk surat sampai. Dengan kemajuan dunia siber, segalanya semudah klik sana dan klik sini. Tetapi disebabkan terlampau mudah, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab dan menyalah gunakan kemudahan ini. Bagi mengatasi permasalahan yang timbul, beberapa cadangan telah diutarakan.
Untuk menjadikan dunia siber lebih baik untuk rakyat Malaysia adalah pemantapan dari segi pematuhan undang-undang, aspek sosial , dan aspek teknologi .Berdasarkan dari segi pematuhan undang-undang, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu memainkan peranan penting dalam memastikan setiap maklumat yang disebarkan adalah mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak SKMM itu sendiri. Tindakan perlu diambil serta merta jika terdapat pihak yang cuba memanipulasikan maklumat untuk kepentingan diri sendiri. Bagi kawasan luar bandar, kerajaan telah memperkenalkan jaringan siber tetapi kadar untuk mengakses maklumat masih berada di tahap yang lemah.
Contohnya, yang berlaku pada tahun ini, pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah memperkenalkan sistem online untuk peperiksaan untuk kemasukan penjawat awam di mana sebelum ini peperiksaan hanya dilakukan secara manual. Pelbagai komen telah diterima oleh calon-calon terutama yang menjawab peperiksaan menggunakan internet di kawasan luar bandar yang tidak dapat mengakses laman khas untuk menjawab dan mengakibatkan ramai calon gagal.Ini dapat diselesaikan jika kerajaan memberi dana untuk menambah baik kelajuan rangkaian di kawasan luar bandar terutamanya bagi mengelakkan situasi ini berulang kerana ini menampakkan kelemahan teknologi yang terdapat di negara kita. Ini juga dapat membantu pelajar luar bandar untuk mendapatkan maklumat kerana sistem pendidikan baru yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memerlukan pelajar untuk mengakses banyak maklumat melalui internet.
Jika dilihat dari segi sosial dan perspektif yang berbeza, kempen dan seminar yang berkaitan dengan alam siber wajar dilaksanakan. Hal ini demikian kerana, kempen merupakan satu medium yang paling berkesan dalam menyampaikan sesuatu maklumat. Kempen tidak hanya tertumpu kepada pembacaan dan ceramah semata-mata. Aktiviti seperti seminar yang lebih menarik boleh diketengahkan dalam usaha menjadikan dunia siber lebih baik untuk masyarakat Malaysia hari ini. Namun begitu, kempen dan seminar mengenai cabaran dan dan impak dunia siber masa ini haruslah dilaksanakan secara konsisten dan holistik iaitu sepanjang tahun dan tidak tertumpu kepada golongan-golongan tertentu sahaja. Sejajar dengan itu, institusi-institusi pendidikan negara termasuklah Institusi Pengajian Tinggi Awam mahupun Swasta (IPTA,IPTS), Institusi kemahiran Belia Negara (IKBN) mahupun sekolah-sekolah vernacular yang lain bolehlah menjalinkan kerjasama dengan pihak swasta untuk menjayakan program ini. Sehubungan dengan itu, bukan golongan pelajar sahaja yang menjadi tumpuan malah golongan dewasa yang terlibat secara langsung atau tidak juga turut sama mendapat manfaat.
Meluntur aur biarlah dari rebungnya, kerana apabila sudah menjadi buluh diraut payah dikepuh patah. Pepatah ini amat bertepatan dengan pendidikan mengenai rintangan onak duri alam maya pada hari ini. Cara menghadapi cabaran globalisasi marcapada ini haruslah ditekankan seawal yang mungkin. Jadi, tidak timbul persoalan mahupun keraguan pengetahuan mengenai dunia tanpa sempadan ini boleh diterapkan dalam subjek Moral dan Sivik di sekolah-sekolah rendah milikan kerajaan mahupun persendirian. Ibu bapa juga haruslah memantau aktiviti sosial anak-anak dengan cakna akan laman-laman sesawang yang dilayari mereka. Ibu bapa tidak boleh meletakkan tanggungjawab ini kepada pihak sekolah semata-mata sebaliknya berganding bahu, melangkah sederap untuk menjaga dan membentuk peribadi anak-anak. Didikan serta asuhan agama dan moral yang mantap haruslah ditekankan agar anak-anak tidak tersasar jauh dikemudian hari. Pegangan agama yang utuh akan membantu anak-anak memilih yang mana terbaik untuk mereka sendiri.
Seperti kita sedia maklum, kita berada di dalam negara yang sedang membangun yang mempunyai pelbagai jenis teknologi dan gajet yang semakin canggih dan terdapat semakin banyak aplikasi yang berguna. Namun, semakin banyak aplikasi yang terhasil, semakin banyak juga aplikasi palsu yang telah menyebabkan gajet mendapat virus dan juga segala maklumat penting mengenai pengenalan diri dan akaun dapat diakses dengan mudah oleh pihak luar yang tidak bertanggungjawab. Disebabkan itu, SKMM dan Cyber Security harus bekerjasama dengan lebih efektif bagi menyekat pelbagai jenis aplikasi yang boleh menjurus kepada jenayah siber.
Dengan doa dan harapan, semoga rakyat Malaysia khususnya pengguna siber memberikan sokongan padu terhadap cadangan penambahbaikan ini. Semua ini bukan sahaja mendatangkan manfaat kepada diri kita, tetapi menaikkan imej Malaysia sebagai sebuah ikon keamanan di mata dunia.
No comments:
Post a Comment